Berita

'Apih Barbershop Azam Balas Bantuan MARA'

9 November 2017

 

Rakan-rakannya sema­kin kerap datang ke rumah atau menghubungi meminta digun­ting rambut mereka kerana merasakan hasil khidmatnya lebih kemas, menepati `bojeng’ (gaya rambut) yang dihajati.

Rakan-rakannya itu pula se­ring memuatkan foto mereka dengan bojeng baharu yang ada kalanya kelihatan unik dalam laman sosial turut menarik perhatian ramai, dan kebanyakannya bertanyakan hasil khidmat kedai atau salun mana.

Ini tambah meyakinkan Abdul Hafiz Abdullah, 28, bahawa minatnya sejak kecil dan berte­rusan sehingga dewasa boleh dikem­bangkan dengan men­jalankan perkhidmatan gun­ting rambut secara komersial dan kelihatan profesional.

Dia tidak perlu lagi melakukan secara sambilan di bawah pokok dan di tepi rumah tetapi membuka sebuah kedai gunting rambut berkonsep moden yang selesa, dengan khid­mat pelbagai gaya po­tongan dalam satu-satu masa.

“Saya juga tidak perlu lagi tercari-cari kerja dan berjauhan de­ngan emak yang diserang strok. Dua tahun saya mengintai premis yang sesuai dan strategik untuk disewa di bandar Kuala Berang.

“Kalau ada pun sewaannya agak tinggi dan rasa berat bagi saya yang baharu hendak bernafas. Se­hinggalah saya te­ngok iklan tawaran sewa premis Arked MARA yang sewanya cuma RM150.

“Selepas mendapat kelulusan tidak lama selepas permohonan dibuat pada Julai 2014, saya membelanjakan wang simpanan RM9,000 untuk mengubahsuai ruang agak kecil itu dan menyediakan kelengkapan termasuk sebuah kerusi, penghawa dingin di samping dekorasi.

Abdul Hafiz memiliki Diploma Kejuruteraan Elektronik dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun selain sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang Pegawai Latihan Vokasional.

Anak muda yang berasal dari Kampung Pueh, kira-kira lapan ki­lometer dari Kuala Berang itu, akhirnya terjun ke dalam bidang di luar daripada ilmu yang ditimba.

Namun dia menggambarkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian menjadi bekal untuk dia mula mencorakkan bentuk premis dan perniagaan gaya baharu yang mempunyai potensi besar ini dengan kudrat sendiri.

Dia tidak mengikuti sebarang kursus kemahiran dalam bidang ini, tetapi daripada perkongsian pengalaman yang panjang dan pengamatan termasuk bagaimana menyesuaikan gaya rambut dengan bentuk muka dan usia.

“Saya juga mengikuti gaya rambut semasa golongan muda di negara ini, selain reka corak sendiri yang bersesuaian dengan masyarakat kita,” ujarnya.

Dinamakan Apih Barbershop, dia pada awalnya bersendirian menjalankan khidmat itu sehing­ga larut malam dengan tekad un­tuk mengumpulkan modal yang lebih banyak bagi memenuhi impian yang lebih besar.

Kemunculan Apih Barbershop bagaikan menjadi satu pengenalan baharu bagi wajah sesebuah kedai gunting di sekitar Kuala Berang.

Melihat kepada sambutan ramai terhadap Apih Barbershop dan komitmen pemuda yang masih bujang itu, setahun kemudian, Mara menawarkan pinjaman mu­dah tanpa faedah sebanyak RM10,000 baginya mengembangkan perniagaan di samping membimbingnya dalam aspek pengurusan perniagaan termasuk secara dalam talian.

“Kesediaan MARA yang terus membantu telah meningkatkan keyakinan dan membolehkan saya menambahkan dua lagi kerusi dan mengambil dua pelatih untuk sa­ya bimbing serta meningkatkan jualan minyak rambut.

 

Abdul Hafiz Abdullah sewaktu menerima Anugerah Penyewa Terbaik pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2016 daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur

“Bagi memenuhi keperluan, sa­ya membuka satu lagi kedai gun­ting dalam kontena yang diubahsuai sendiri melibatkan kos RM47,000 yang dinamakan Barberia, de­ngan menyewa tapak di lobi Arked MARA mulai awal tahun ini.

“Kedai baharu ini boleh menampung pelanggan kira-kira 100 orang sehari dengan khidmat tiga tukang gunting dan seorang kerani kewa­ngan,” ujar Hafiz yang merupakan salah seorang pene­rima Anugerah Usahawan MARA 2016.

Beliau berhasrat untuk terus menambahkan rantaian perniagaan ini sekali gus membantu memberikan pengalaman serta membim­bing anak muda yang berminat terutama dari keluarga miskin.

“Mereka yang bersama saya, diharap kelak dapat membuka kedai gunting di kampung masing-ma­sing bagi membantu keluarga sebagaimana MARA gigih ber­usaha membantu usahawan Melayu.

“Saya merasa sangat terhutang budi. Saya tidak akan sia-siakan kepercayaan ini, sekurang-kurangnya saya menghargai de­­ngan membayar sewa dan pinjaman mengikut masa yang ditetapkan selain yang akan terus berusaha untuk lebih berjaya,” ujarnya mengakhiri perbualan.