Berita

'International Innovation Technology & Conference 2017 (Program i-Tec'17)'

Kemaman|12 September 2017 


YBhg Prof Emeritus Dato' Dr. Abu Azam Bin Md Yassin, Ahli Majlis MARA (berdiri lapan dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang i-Tec 2017

Kemaman, 12 September – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menganjurkan International Innovation, Technology & Conference 2017 (Program i-Tec’17) bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman, Terengganu pada 11 – 12 Septermber 2017.

Ahli Majlis MARA, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam bin Md Yassin berkata, program yang bertemakan “Research Evolution and Transformation” adalah untuk memperlihatkan kepada umum revolusi TVET MARA pada masa hadapan, yang mana terdapat lima aktiviti utama yang dianjurkan iaitu pembentangan kertas kajian, pameran dan pertandingan inovasi, forum industri, perkongsian teknologi minyak dan gas daripada pemain industri.

“Sebanyak 121 produk inovasi daripada 67 institusi pendidikan seluruh negara telah mengesahkan penyertaan dalam penganjuran kali ini, selain itu sebanyak 62 kertas kajian daripada 26 institusi telah dibentangkan untuk dinilai dan dikongsi bersama,” katanya.

Menurut Abu Azam, terdapat juga penyertaan seramai 12 orang pelajar antarabangsa yang terlibat sebagai pembentang kertas kajian, yang mana kertas kajian mereka akan dinilai dan diadili bagi mendapat Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik dan Pembentang Kertas Kajian Terbaik.

“Bagi perkongsian teknologi pula terdapat tiga syarikat yang akan membentangkan tentang teknologi terkini dalam bidang minyak dan gas seperti teknologi PPETS (Production Plant for Education Trainning System), Offshore Trainning Simulator (OTS) dan Software Smart Plant, yang mana ia merupakan satu keperluan bagi pihak industri minyak dan gas selaras dengan konsep Industri 4.0,” ulas beliau.

Menurut Abu Azam, kesemua sistem ini ada ditempatkan di KKTM Kemaman bagi tujuan akademik yang mana institusi ini turut mempunyai “Offshore Structure Lab”, “Rotating Equipment Lab”, “Control System Lab”, Electrical and Electronic Lab” dan pelbagai lagi fasiliti untuk melahirkan pereka tempatan dalam bidang minyak dan gas di peringkat diploma.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama UniKL MFI, UMP, MARA-Aerotech dan pelbagai pihak yang terdiri daripada pemain industri, institusi pengajian tinggi dan perekacipta tempatan, yang mana program i-Tec’7 ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada agenda Transformasi Malaysia dalam menghadapi Industri 4.0.