Berita

‘Pertemuan Bekas Tenaga Pengajar & Pelajar  Selepas 38 Tahun'

Pekan |22 Ogos 2017 

Sebahagian daripada bekas tenaga pengajar dan pelajar Institusi Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahaya, Pekan yang hadir pada Majlis Makan Malam Perdana Jejak Kasih Guruku 2017.

 

PEKAN: Majlis perjumpaan bekas tenaga pengajar dan pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini, meriah dengan kehadiran kira-kira 300 bekas pelajar.

Pengerusi program, Mohd Yasin Daud, berkata pertemuan berkenaan dapat mengubati kerinduan mereka dan bersama-sama mengimbau semula memori zaman berada di institusi kemahiran itu 38 tahun lalu.

Katanya, beliau tidak menyangka majlis berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada bekas tenaga pengajar dan pelajar sehingga ada yang sanggup datang dari jauh.

“Tujuan majlis ini adalah untuk menghimpunkan bekas tenaga pengajar dan pelajar tahun 1979 hingga 1984 daripada seluruh Semenanjung bagi mengeratkan hubungan,” katanya pada Majlis Makan Malam Perdana Jejak Kasih Bersama-sama Guruku 2017 di institut berkenaan di sini, malam tadi.

Katanya lagi, majlis itu juga dijadikan medan bagi mereka mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terbina selain merancang program akan datang.

Sementara itu, Setiausaha program, Mohd Zaki Jaffar berkata, penganjur juga mengadakan kutipan derma untuk bekas pelajar yang uzur dan tidak berupaya bekerja bagi meringankan mereka.

“Majlis tahlil juga diadakan bagi bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, pihak penganjur berusaha untuk menjejak bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar yang masih tidak dapat dikesan melalui media sosial.

“Saya berharap kepada bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar boleh menghubungi saya di talian telefon 019-3272604,” katanya.