Berita

‘MARA Perkenal Inovasi Baharu Pendidikan’

Kuala Lumpur |8 May 2017 

MARA fokus pendidikan dan latihan industri siap sedia pelajar kemahiran diperlukan.

 

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkolaborasi dengan Syarikat Composite Technology & Research Malaysia (CTRM) sejak 2013 untuk membekalkan tenaga kerja dalam bidang industri aeroangkasa bertepatan dengan Aerospace Blueprint 2030.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kolaborasi ini diperkukuhkan lagi melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 21 Mac lalu.

Beliau berkata, melalui MoU ini, kerjasama antara MARA dan CTRM merangkumi perkongsian kepakaran aspek pembangunan penyelidikan, pendidikan dan latihan berasaskan industri pembuatan aeroangkasa.

Katanya, MARA juga bekerjasama dengan pihak industri yang memberi manfaat kepada institusi dan industri dalam Program Diploma Industri Pembuatan Komposit Aeroangkasa di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, Melaka.

Tenaga kerja berkemahiran

“Kolaborasi ini akan menghasilkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi yang memenuhi tiga elemen kompetensi iaitu teknikal, sosial dan kemanusiaan dengan pemilihan KKTM Masjid Tanah sebagai hab kecemerlangan dalam bidang aeroangkasa kerana ada tenaga pakar dalam bidang teknologi pemprosesan komposit di sana,” katanya.

Beliau berkata, fasiliti di KKTM Masjid Tanah juga memenuhi spesifikasi sebagai pusat latihan industri aeroangkasa di mana objektif kolaborasi adalah untuk memberi pendedahan kepada pensyarah dengan ilmu pengetahuan baharu berkaitan dengan penyelidikan dan pembuatan produk industri aeroangkasa.

“Konsep teaching factory yang digunakan menjadi nilai tambah kepada institusi dalam memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional, sekali gus meningkatkan pengetahuan dalam mewujudkan transformasi produk dan bahan bermanfaat untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bertepatan hasrat MARA dalam melahirkan pekerja berpengetahuan (k-workers) yang memiliki tiga elemen kompetensi iaitu teknikal, sosial dan kemanusiaan serta metadologi & pembelajaran, KKTM Masjid Tanah dipilih menjadi Centre of Vocational Excellent (Co-VE) melalui penawaran program diploma dalam bidang pembuatan komposit aeroangkasa iaitu Diploma Industri Pembuatan Komposit Aeroangkasa.

Julung kali diadakan

“Program ini julung kali dilaksanakan di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menggunakan konsep industrial based training (IBT), manakala kerjasama CTRM ini merangkumi perkongsian kepakaran dalam aspek pembangunan penyelidikan, pendidikan dan latihan berasaskan industri pembuatan aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan konsep teaching factory yang baharu ini memecahkan had pengetahuan dalam mewujudkan transformasi produk dan bahan bermanfaat untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, di mana selaku (ICoE) Aeroangkasa, KKTM Masjid Tanah menawarkan perkhidmatan dalam teknologi penyelidikan, pembuatan, konsultasi dan pengujian (testing).