Berita

‘KKTM LEDANG UNGGULI CiTEX 2016’

KKTM Ledang│12 Oktober 2016

Ahli Majlis MARA Datuk Dr. Haji Yusoff Haji Yacob (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Inovasi

paling bernilai kepada KKTM Ledang sempena CiTEX 2016.

 

KUALA LUMPUR 12 Oktober – Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, Johor dengan produknya ‘The Auto Grab Bar’ mengungguli ‘Best Of The Best Innovation’ sempena Competition, Innovation Technology & Engineering Through Exhibition (CiTEX) 2016 yang berlangsung di Ruang Legar, Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur.

Menurut Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Haji Yusof bin Haji Yacob pertandingan ini julung kali diadakan berkonsepkan ‘gallery type exhibition’ dengan melibatkan 118 produk inovasi dari seluruh Institusi Pendidikan MARA (IPMA) terutamanya dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), MARA – JAPAN Industrial Institut (MJII), MRSM, GIATMARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Pertandingan seumpama ini membuktikan bahawa MARA selaku pelopor pendidikan TVET telah mampu memperkembangkan penciptaan produk-produk baru hasil daripada idea-idea kreatif yang mampu meletakkan institusi kemahirannya sebagai contoh kepada institusi kemahiran yang lain di negara ini,” katanya.


 

Beliau berkata demikian semasa majlis penutup pertandingan ini di samping menyampaikan hadiah kepada 12 orang pemenang dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Beliau menambah, sehingga ke hari ini, MARA sentiasa mengatur perancangan strategik bagi memastikan keterbezaan sistem pendidikan TVETnya sentiasa relevan melalui penerapan budaya kreatif dan inovatif sebagai impak terpenting untuk mengoptimumkan potensi serta pelajar.

“MARA bukan hanya sekadar melahirkan graduan berkepakaran tinggi malah turut memberikan bimbingan untuk menjadikan mereka pencipta peluang pekerjaan atau usahawan yang mampu mencipta kekayaan untuk diri, masyarakat dan bangsa,” katanya lagi.

Tegasnya lagi idea-idea baru yang dipersembahkan bersama kreativiti dalam mencipta pelbagai produk di pertandingan seumpama ini mampu untuk di komersialkan ke arah penjanaan pendapatan tinggi melalui hak cipta harta intelek.