Utama

'Belajar Sambil Berniaga'

6 Disember 2017

Najwa menunjukkan produk utamanya sebagai usahawan sambilan dalam talian, walaupun masih bergelar penuntut di IPTA.

“Jika sebelum ini saya terbeban dengan perbelanjaan harian yang agak tinggi kerana sebagai pelajar saya perlu membayar yuran dan beli buku dan kini dengan berniaga secara dalam talian, saya mampu tampung kehidupan,” kata Fusya Najwa Md Fuzi, 25.

Gadis yang lebih mesra dipanggil Najwa ini, merupakan seorang pelajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, yang mengambil kursus Diploma Teknologi Pembinaan (Forensik Bangunan) dan kini dia sedang belajar dalam semester kelima.

Katanya, dia tidak mahu menyusahkan orang tuanya, dan sebab itulah dia cuba untuk berniaga secara dalam talian dengan memanfaatkan media baharu.

Katanya, dengan berniaga secara dalam talian ini sekurang-kurangnya dia mempunyai pendapatan sendiri dengan menjual beberapa jenis biskut dan produk utamanya ialah kerepek brownies.

“Walaupun pada mulanya saya agak takut-takut, tetapi saya kuatkan semangat dan cabaran paling utama saya ketika itu antaranya ialah saya tidak mempunyai pelanggan selama dua bulan pertama.

“Saya cuba perbaiki produk saya ini dengan memperbaiki labelnya dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Kini permintaan daripada pelanggan tidak putus-putus.

“Dan yang paling menggembirakan saya ialah pendapatan saya sekarang cecah RM5,000 sebulan,” katanya yang menjual kerepek brownies dengan jenama Pure Crunchy Brownies dan laman instagram miliknya ialah BuncitMelelehlicious.johor

Dalam masa yang sama dia juga telah dipilih sebagai ikon usahawan dalam talian di KKTM Sri Gading, selain ikon dalam Boothcamp e-Usahawan Mara Wilayah Selatan 2017.

Dia yang menyatakan minat berniaga sejak kecil, menjadikan dia tidak mudah putus ada.

“Walaupun berjaya berniaga secara dalam talian ini, saya tidak lupakan tugasan hakiki sebagai seorang pelajar dan masih menyimpan hasrat untuk bekerja dalam bidang yang saya pelajari kini.

“Berniaga ini cumalah pendapatan sampingan bagi saya, dan pada saya tidak salah seseorang itu mempunyai dua atau tiga kerja dalam satu masa, tetapi yang paling penting sekali ialah kerja hakikinya tidak terabai,” katanya.

Paparan Facebook