Utama

'Siapkan Kabinet Dalam Masa Empat Hari'

8 November 2017

Mohd Izuwan (kanan) menunjukkan contoh kabinet yang dihasilkannya kepada Jalaludin.

 

SEBAIK tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012, Mohd. Izuwan Mat Rabi, 22, masih belum memikirkan tentang masa depannya.

Suatu hari, dia yang merupakan anak tunggal telah bertemu dengan sepupunya dan perbincangan lebih menjurus kepada isu melanjutkan pelajaran.

“Sepupu saya merupakan tenaga pengajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Sungai Petani, Kedah dan dia mencadangkan saya untuk mendalami ilmu kemahiran di situ.

“Saya kemudiannya memohon untuk melanjutkan pengajian di situ. Akhirnya, saya diterima untuk mempelajari bidang kemahiran pembuatan kabinet,” jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Badong, Merbok.

Keputusan Mohd. Izuwan untuk memilih bidang pengajian itu berbaloi apabila dia dipilih mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu baru-baru ini.

WSC merupakan pertandingan kemahiran peringkat tertinggi yang diadakan pada setiap dua tahun sekali dan ia disertai oleh belia-belia berkemahiran dari seluruh dunia.

Malaysia telah menghantar seramai 21 orang belia berlainan kemahiran untuk menyertai pertandingan itu.

Dua orang pelatih di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut bertanding dalam kategori berasaskan kemahiran perkayuan.

Mohd. Izuwan menjadi wakil negara dalam kategori Pembuatan Kabinet dan seorang lagi peserta, Amrul Ridwan Mohd. Azam untuk kategori Joinery ataupun pembuatan tanggam.

Kedua-dua pelatih itu menjalani latihan intensif di bawah MTIB untuk pertandingan tersebut.

Dalam pertandingan tersebut, Mohd. Izuwan telah mendapat tempat ke-14 daripada 29 peserta dan dianugerahkan pingat Medallion for Excellence.

Jelas Mohd. Izuwan, perjalanannya untuk mewakili negara dalam pertandingan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Untuk dipilih menyertai pertandingan ini, saya bermula dari bawah dengan menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.

Kesedaran

“Pada tahun 2014, saya terpilih mewakili IKM untuk peringkat kebangsaan dengan menyertai kejohanan WorldSkills Malaysia kategori Belia (WSMB),” jelasnya yang sebelum itu bercita-cita untuk menjadi anggota polis.

WSMB adalah satu pertandingan kemahiran yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk memilih dan mengiktiraf pelatih dan pekerja berkemahiran unggul.

Pertandingan itu dijalankan melalui dua peringkat iaitu peringkat prakelayakan dan akhir.

Ia bertujuan membantu meningkatkan tahap kemahiran sumber manusia di Malaysia agar bertaraf dunia.

Selain itu, ia juga memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang pentingnya bidang kemahiran kepada pembangunan negara.

Untuk kejohanan WSMB, Mohd. Izuwan telah layak untuk ke peringkat akhir dan meraih pingat gangsa.

Namun pada tahun 2015, Mohd. Izuwan sekali lagi menyertai pertandingan tersebut dan dia mendapat pingat perak sehingga layak mewakili negara ke peringkat Asia Tenggara bagi Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC).

Setelah terpilih untuk menyertai ASC, dia kemudiannya telah diberi peluang oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran pembuatan kabinet di Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC).

“Di WISDEC, saya dapat meningkatkan lagi kemahiran dalam menghasilkan kabinet kerana diberi tunjuk ajar oleh pakar.

Bakat

 

Sebelum mengikuti pertandingan WSC, Mohd Izuwan telah menghasilkan 20 kabinet sebagai latihan.

 

“Selain itu, saya juga berpeluang menggunakan mesin-mesin yang lebih canggih dalam proses menghasilkan kabinet. Apa yang boleh saya katakan, peralatan di sini begitu mencukupi untuk saya menjalani latihan bagi menyertai sebarang pertandingan,” ujarnya.

Pada kejohanan ASC yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2016, Mohd. Izuwan berjaya meraih emas dan kejayaan itu membolehkannya terpilih untuk mewakili Malaysia bagi WSC 2017.

“Saya sendiri tidak menyangka sampai ke tahap ini. Saya rasa bersyukur kerana berpeluang menonjolkan bakat dan kemahiran saya ke peringkat lebih tinggi.

“Mewakili negara sehingga peringkat itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya perlu berhadapan dengan mereka yang berbakat dari seluruh dunia,” jelasnya.

Tambahnya, melalui latihan yang diberikan oleh IKM dan juga MTIB, dia dapat mendalami ilmu kemahiran pembuatan kabinet dengan baik.

Sebelum pertandingan itu berlangsung, Mohd. Izuwan mempunyai tempoh masa selama sembilan bulan untuk menjalankan latihan. Sepanjang latihan tersebut, dia telah menghasilkan 20 kabinet sebagai persediaan.

“Latihan ini amat penting bagi membolehkan saya bersedia dengan kehendak soalan yang diberikan ketika di pertandingan itu.

“Melalui latihan tersebut, ia bukan sekadar meningkatkan kemahiran pertukangan kabinet sahaja, tetapi tenaga pengajar juga turut mendedahkan kaedah untuk sentiasa tenang dan tidak panik pada hari pertandingan,” jelasnya.

Pada hari pertandingan, sebaik sahaja mendapat soalan perasaan berdebar tetap menyelebungi Izuwan.

“Apabila tiba hari pertandingan, saya sangat berdebar kerana pada hari tersebut baru diberitahu konsep kabinet yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Antara cabaran yang dihadapinya pada kejohanan itu ialah mesin yang digunakan berbeza berbanding yang selalu digunakan ketika latihannya.

Selain itu, para peserta perlu menyiapkan perabot itu dalam tempoh masa empat hari. Setiap hari mereka diberi masa selama enam jam.

Penilaian terhadap produk akhir itu juga dibuat secara ketat.

“Pengiraan markah mengambil kira ketepatan ukuran, penghasilan tanggam, kekemasan dan beberapa ciri lain,” jelasnya.

Walaupun tidak dapat menghadiahkan pingat, Mohd. Izuwan begitu berpuas hati dengan hasil kerjanya itu.

Sokongan

“Saya rasa pertandingan ini memberikan pengalaman yang begitu berharga dalam hidup saya. Walaupun tidak dapat menghadiahkan pingat buat negara untuk kategori ini, sekurang-kurangnya saya mendapat pengiktirafan Medallion for Excellence,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Izuwan amat berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya iaitu Azmi Hasan, 53, dan Hayati Deraoh, 43, kerana banyak memberi sokongan dan motivasi kepadanya tanpa jemu.

“Tanpa sokongan dan doa mereka berdua saya tidak mungkin dapat capai sehingga ke tahap ini,”jelasnya.

Tambahnya, untuk masa hadapan dengan kemahiran yang dia miliki, Mohd. Izuwan bercadang untuk mengusahakan perniagaan kabinet selain mencurah bakti sebagai tenaga pengajar di IKM.

Paparan Facebook