Utama

'MOIBF Lonjak Potensi Usahawan Bumiputera'

Kuala Lumpur|10 Oktober 2017 

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Husin

KUALA LUMPUR: Forum Perniagaan Antarabangsa MARA OISCA (MOIBF) di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 dan 15 November ini dijangka mengukuh dan mengembangkan potensi serta peluang usahawan Bumiputera ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek Husin berkata, forum perniagaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Industri, Kerohanian, Kebudayaan dan Kemajuan (OISCA) itu adalah penganjuran kali keenam yang menyasarkan 1,000 usahawan Bumiputera tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, program kali ini bertemakan ‘Meningkatkan Rangkaian Keusahawanan’ akan memberi fokus kepada pembabitan usahawan Bumiputera seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak, selain usahawan berdaftar dengan OISCA di seluruh dunia merangkumi 39 negara.

“Program ini membabitkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terbabit dalam industri pertanian, makanan dan minuman serta pelancongan.

“Antaranya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS), Dewan Perdagangan dan Industri Jepun di Malaysia (JACTIM) dan Dewan Perdagangan Jepun.

“Pemilihan industri ini bertepatan dengan peluang dan perkembangan pesat industri, terutama Sabah di bawah projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MOIBF kali kelima diadakan di Kuala Terengganu dengan tema ‘Menghormati Masa Lalu, Menerokai Masa Sekarang, Membentuk Masa Depan.’

Kerjasama antara MARA dan OISCA bertujuan meningkatkan keupayaan teknikal dan keusahawanan dalam kalangan belia serta usahawan Malaysia.

Melalui kerjasama itu, graduan Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) dari MARA akan melalui Pusat Bahasa Jepun MARA OISCA di Institut Perindustrian MARA-Jepun untuk melanjutkan pengajian dan latihan praktikal di Jepun.

Awang Adek berkata, antara tumpuan forum dua hari itu ialah sesi perbincangan antara pakar dalam bidang berkaitan dari Malaysia iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim.

“Turut menjadi tumpuan ialah sesi pemadanan perniagaan antara kedua-dua negara bagi memudahkan hubungan perniagaan, perdagangan dan pelaburan, di samping menggalak perkongsian teknologi dan penyelesaian perniagaan.

“MOIFB akan memberi penekanan kepada perniagaan sektor berasaskan pertanian, makanan dan minuman (F&B) dan pelancongan.

“Kita jangka F&B kali ini lebih terserlah kerana minat yang meningkat dari usahawan Jepun yang ingin mempunyai rangkaian pembekal makanan halal sempena Olimpik 2020 di negara mereka,” katanya.

Paparan Facebook