Utama

'Usahawan Digesa Manfaat Ilmu Keusahawanan'

Tangkak, Johor|21 September 2017 

 

Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor, Zulkifli Baba (duduk ditengah) bergambar kenang-kenangan bersama peserta kursus keusahawanan.

Tangkak, 21 September – Para usahawan digesa untuk memanfaatkan segala ilmu yang diperoleh daripada kursus keusahawanan yang dihadiri dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Menurut Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor, Zulkifli Baba, para usahawan tidak boleh berada dalam zon selesa sebaliknya perlu berubah dengan budaya kerja baru selari dengan suasana dan perkembangan semasa.

“Pelbagai kursus keusahawanan telah dianjurkan oleh pihak kerajaan dalam melonjakkan lagi perniagaan usahawan Bumiputera, justeru mereka perlu memanfaatkan ilmu tersebut sebaik-baiknya dalam melonjakkan lagi pendapatan dari perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penutup Kursus Pengendalian Makanan anjuran Pejabat MARA Daerah Tangkak dengan kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang di sini hari ini.

Seramai 50 peserta terdiri daripada usahawan dan pelajar program usahawan muda KKTM Ledang telah mengikuti kursus ini.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran kursus, Zulkifli berkata MARA akan terus membimbing dan memantau para peserta kursus ini dan merangka beberapa kursus lanjutan pada masa akan datang.

“Kita tidak akan membiarkan setiap peserta kursus anjuran MARA terumbang-ambing apabila pulang daripada kursus ini sebaliknya kita akan memantau perkembangan mereka dan seterusnya melengkapkan ilmu keusahawanan yang bersesuaian,” katanya lagi.

Paparan Facebook