Utama

‘TVET Tidak Harus Dianggap Pengajian Pilihan Kedua'

Bintulu | 14 Mei 2017 

 

"Hampir 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpengalaman masa kini dari luar negara"

 

BINTULU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak harus dilihat sebagai pengajian pilihan kedua memandangkan hampir 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpengalaman masa kini dari luar negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Abdul Halim Abas berkata, menjelang tahun 2020, MARA menyasar 50 peratus tenaga kerja berkemahiran yang mampu menggalas tanggungjawab besar dilahir dengan harapan membantu memaju negara.

Justeru, katanya, peranan TVET adalah penting bagi memastikan hasrat tersebut tercapai dan sempurna sekali gus kekal relevan untuk berdepan cabaran dan tuntutan semasa.

“Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi tahun 2017, kerajaan memperuntuk sebanyak RM2.3 bilion kepada MARA melaksana aktiviti pembangunan.

“Manakala RM1.2 bilion lagi untuk bajet mengurus di bawah sektor pendidikan,” katanya merasmikan Majlis Konvokesyen IKM Bintulu Kali Ke-3 di Dinner World, Bintulu Sentral semalam.

Seramai 184 graduan menerima sijil dalam majlis konvokesyen tersebut.

Turut hadir Pengarah IKM Bintulu, Dr Mohd Nawawi Omar; Timbalan Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal, Azmin Ariffin dan barisan ahli senat IKM Bintuu.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyediakan peruntukan besar kepada MARA untuk program pembangunan modal insan.

“Kebolehpasaran graduan MARA meningkat sebanyak 85 peratus membuktikan Institut Pendidikan MARA (IPMa) dan pelan pembangunan pendidikan MARA berjaya mewujud graduan berdaya saing serta mampu mendepani cabaran,” ujarnya.

Jelasnya, pelbagai inisiatif dilaksana oleh bahagian kemahiran dan teknikal MARA dalam memperkukuhkan TVET MARA.

Beliau berkata, bagi memperkasa bidang pendidikan itu, MARA memperkenal Diploma Kompetensi dan Diploma Teknologi dengan syarat kemasukan sangat minimum termasuk bidang elektrik, automotif, pembuatan, industri pembuatan komposit aeroangkasa (MARA-CTRM) dan industri kimpalan (MARA-Sapura Kencana).

“Di IKM Bintulu, dua latihan peringkat sijil telah dinaik taraf kepada pengajian diploma pada 2016 iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Operasi Loji dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Instrumentasi dan Kawalan (SIK),” katanya.

Manakala tahun ini (2017) katanya, satu program lagi telah dinaik taraf ke peringkat diploma iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemasangan Elektrik dan akan ditawar pada sesi Julai 2017.

“IKM Bintulu turut menjalin kerjasama strategik antara industri, institusi dan agensi sehingga ke peringkat tinggi terutama dalam pemindahan ilmu melahir tenaga pakar kompeten.

“Ia selari kemunculan industri baharu yang memerlu kelengkapan dan aspek perubahan sekali gus melangkaui perubahan teknologi,” katanya

Tambahnya, IKM Bintulu satu-satunya institusi turut menekankan usaha untuk melahirkan golongan usahawan yang akan berjaya mewujudkan peluang kerja kepada lain.

Paparan Facebook